suria

K-Pop: Aksi Spontan Peminat Bukan Tanggungjawab Puspal - Ahmad Shabery

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak bertanggungjawab mengawal aksi dan tindak-tanduk peminat yang menonton persembahan artis luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tugas Puspal hanya menetapkan garis panduan dan syarat untuk dipatuhi sebelum permit dikeluarkan, justeru tindakan spontan atau di luar jangkaan daripada penonton adalah di luar bidang tugas Puspal.

"Adakala apa yang berlaku secara spontan itu sukar nak diatur terutama apabila melibatkan penonton. Ada pegawai, ada polis pun, tiba-tiba dia naik atas pentas.

"Penonton datang untuk tengok persembahan dan tak ada permit untuk menonton jadi kalau penonton nak naik pentas, nak peluk orang ke, nak menyanyi sama-sama atau sebagainya ini di luar tugas dan tanggungjawab Puspal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan identiti jenama baharu Pos Malaysia, di Kompleks Daya Bumi di sini, Khamis.

Menurut Ahmad Shabery, insiden itu berlaku bukan kerana permit diberikan kepada kumpulan 'K-Pop' atau penyanyi bukan beragama Islam, sebaliknya lebih menjurus kepada tindakan pelakunya iaitu penonton yang mungkin sangat 'teruja' dengan artis yang diminati.

Katanya, dalam isu ini adalah lebih baik sekiranya mereka yang sudah 'terlajak' itu diberi nasihat, kaunseling dan pendidikan oleh pihak yang berkenaan berbanding hukuman supaya insiden yang sama tidak berulang.

"Zaman sekarang ada perkara yang boleh dikenakan tindakan undang-undang, tapi ada perkara yang saya rasakan nasihat, pandangan dan pendidikan lebih penting supaya orang tahu mana yang baik dan tak baik.

"Pilihan untuk menghukum dalam semua perkara akan menyebabkan kesulitan di masa depan, misalnya beza peluk di televisyen atau di internet, kalau kita hukum yang itu orang tanya kenapa tak hukum yang ini...nanti timbul pula isu 'pilih' hukuman," katanya.

Sabtu lalu, aksi memeluk dan dipeluk antara ahli kumpulan K-Pop B1A4 dari Korea Selatan bersama tiga peminat wanita Islam ketika berada di atas pentas konsert mencetuskan kecaman pelbagai pihak terutama umat Islam.

Jawi pada Selasa dilaporkan akan memohon kepada mahkamah supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap penganjur dan tiga wanita Islam yang terlibat sekiranya mereka tidak tampil untuk membantu siasatan dalam tempoh seminggu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain