KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bercadang untuk memperluaskan penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberi amaran awal kemungkinan berlakunya banjir kepada penduduk terutamanya di negeri-negeri pantai timur di masa akan datang. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS, Sazali Osman berkata, bagaimanapun kajian dan analisis terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kaedah itu diperkenalkan. Beliau berkata, kaedah SMS itu antara perancangan JPS untuk meningkatkan sistem amaran awal banjir berikutan keberkesanan sistem berkenaan yang dibangunkan JPS pada 2006 untuk penduduk di kawasan sekitar TTDI Jaya, Shah Alam. "Sistem SMS Banjir di kawasan TTDI Jaya, Shah Alam ini berfungsi secara automatik dan memberikan amaran awal kemungkinan berlakunya banjir, berdasarkan kepada jumlah hujan yang direkod di kawasan hulu Sungai Damansara dan juga mengambil kira bacaan aras air di sungai berkenaan. "Sekiranya hujan lebat dicerap di stesen hujan tersebut melebihi nilai yang ditetapkan, amaran awal banjir melalui SMS akan dihantar kepada penduduk di sekitar kawasan itu. Seterusnya, jika aras air melebihi aras waspada dan bahaya, SMS Banjir akan dihantar sekali lagi kepada pengguna tersebut," katanya kepada Bernama. Sazali berkata, JPS bercadang untuk menamatkan perkhidmatan tersebut memandangkan kekerapan kejadian banjir kilat di kawasan itu berkurangan setelah beberapa projek tebatan banjir dilaksanakan di Sungai Damansara. Selain itu, JPS juga merancang untuk meningkatkan sistem amaran awal banjir terutamanya di negeri-negeri pantai timur dengan menambah stesen-stesen pemantauan dan amaran awal banjir seperti stesen aras air, stesen hujan dan stesen siren. "Pengumpulan data-data tersebut akan digunakan untuk maklumat awal banjir kepada orang awam dan juga akan digunakan sebagai sumber data bagi membangunkan model ramalan banjir baharu. "Dengan wujudnya model ramalan banjir di sungai-sungai utama di pantai timur kelak, ia akan dapat meningkat keberkesanan penyampaian ramalan awal banjir kepada orang awam, agensi penyelamat dan agensi kerajaan serta swasta," katanya. Beliau berkata, bagi memastikan orang awam menerima maklumat amaran awal banjir dengan cepat, JPS juga membangunkan tiga aplikasi 'mobile' iaitu Infobanjir, PublicInfobanjir dan myJPS. "Melalui laman web Infobanjir dan PublicInfobanjir, maklumat aras air dan hujan dikemas kini setiap jam. Orang awam terutamanya mereka yang berisiko menghadapi banjir boleh mendapatkan maklumat aras air dan hujan di kawasan yang berhampiran kediaman masing-masing dengan melayari laman web tersebut. "Dengan penggunaan aplikasi komunikasi terkini, JPS membangunkan aplikasi Mobile Apps dengan nama myJPS yang akan memberikan notifikasi dan maklumat semasa kedudukan aras air, hujan dan amaran banjir seluruh negara," katanya. Sazali berkata dengan penggunaan teknologi terkini, JPS akan terus meningkatkan sistem penyampaian maklumat ramalan dan amaran awal banjir terutamanya kepada penduduk di kawasan berisiko banjir. "Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini memberikan banyak pengajaran kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. "Bagi JPS, kejadian banjir tersebut telah memberi kekuatan dan cabaran baharu kepada JPS untuk meningkatkan lagi usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang sering mengalami bencana banjir," katanya. Banjir yang bermula sejak pertengahan Disember lepas menjejaskan lapan negeri di negara ini terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kemuncak bencana alam itu memaksa lebih 200,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan.