Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata Malaysia tidak diberitahu secara rasmi tentang keputusan Australia seperti yang dilaporkan oleh Sydney Morning Herald.
Sirul dilaporkan berada di Australia sejak bulan November.
Peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin berkata Sirul mungkin meninggalkan negara ini secara sah sebelum dia disabitkan membunuh Altantuya.
Beliau berkata pihak pendakwaan tidak memohon supaya Sirul direman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap pembebasannya.
Sirul, 42, menimbulkan tanda-tanya apabila gagal hadir di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar keputusan terhadapnya kerana membunuh, dengan berita melaporkan bahawa dia berada di Australia. Turut menerima hukuman sama ialah Ketua Inspektor Azilah Hadri, 38.
Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Kamarul berkata, beliau tidak berhubung dengan anak guamnya sejak Jun tahun lalu, kira-kira seminggu selepas pendengaran di Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata anak guamnya adalah seorang yang bebas dalam tempoh Mahkamah Rayuan membebaskannya dan apabila Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan itu.
"Dia juga tidak perlu menyerahkan apa-apa dokumen, ditahan direman atau diletakkan di bawah jagaan tanpa sebab yang bertentangan dengan Perlembagaan," kata Kamarul.
Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan boleh memohon menggunakan Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menahan anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, katanya.
"Tetapi pihak pendakwaan tidak menggunakan undang-undang itu yang biasanya digunakan terhadap orang asing, bukan rakyat Malaysia," katanya.
Timbalan Peguam Cara II, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa pihak pendakwaan tidak menggunakan Seksyen 56A.