suria

Pengubahsuaian, Intervensi Hadapi Perubahan Lanskap Ekonomi Diumum Esok - PM

Najib Tun Razak.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pengubahsuaian dan intervensi yang perlu dilakukan bagi menghadapi landskap ekonomi dunia yang berubah, Selasa.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kejatuhan harga minyak sebanyak 60 peratus membawa implikasi kepada ekonomi dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.

"Pendekatan yang tepat, berhemah dan penuh kebijaksanaan perlu diambil bagi mengurangkan kesan kejatuhan harga minyak yang akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, impak kepada hasil negara dan memberi kesan kepada fiskal serta nilai ringgit," katanya.

"Dengan senario baharu ini, kita akan bertindak dengan lebih proaktif bagi menjamin kadar pertumbuhan mampan dan melindungi kepentingan rakyat supaya kesejahteraan rakyat tidak terjejas," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, yang pertama untuk tahun ini, di sini Isnin.

Najib juga berkata penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April ini tidak akan membebankan rakyat.

"Segala aspek telah diambil kira dengan memastikan harga barangan tidak naik dan boleh dikawal dengan baik," katanya.

Najib berkata Rancangan Malaysia ke-11 akan diumumkan pada bulan Mei agar matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 menjadi kenyataan.

"Pentingnya rancangan lima tahun ini kerana ia merupakan pusingan terakhir menuju tarikh keramat 2020," katanya. 

Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain