suria

Calon Parlimen Mahasiswa Dipilih Secara Profesional

Abdul Aziz Rahman. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemilihan calon Persidangan Parlimen Mahasiswa Pertama sesi 2015 di Parlimen tidak berpihak kepada pelajar yang cenderung kepada mana-mana parti politik.

Sebaliknya Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, mahasiswa dipilih secara profesional mengikut kepimpinan dan potensi mereka.

Bercakap dalam sidang akhbar mengenai penganjuran Parlimen Mahasiswa Pertama sesi 2015 di sini, Khamis, Abdul Aziz berkata Mubarak tidak mahu persidangan itu dikaitkan dengan sebarang parti politik seperti didakwa sesetengah pihak bahawa calon terpilih merupakan prokerajaan.

"Ini bukan parti politik punya. Bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), PAS dan Umno. Di sini tiada pro mana-mana. Di sini hanyalah pro-minda, pro-intelek untuk medapatkan pengalaman dan penglibatan diri dalam proses pengendalian Parlimen," katanya.

Sebanyak 200 pelajar dari 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan menyertai persidangan dua hari di bangunan Parlimen yang bermula Isnin ini.

Persidangan itu dianjurkan Mubarak bersama-sama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan, yang akan dikendalikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Abdul Aziz berkata program melibatkan penyertaan 68 peratus mahasiswa lelaki dan selebihnya wanita itu akan menjadi platform kepada mahasiswa membahaskan sesuatu usul berlandaskan ilmu, bukan bersandarkan emosi dan retorik.

Menurutnya individu tanpa ilmu pengetahuan pada kebiasaannya akan menyelitkan lawak jenaka dalam usul yang diketengahkan, sehingga tidak mencapai matlamat untuk memberi idea bernas.

Mereka akan membahaskan usul-usul mengenai sektor pendidikan, katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Mubarak yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata Persidangan Parlimen Mahasiswa itu diharap akan menambah keyakinan mereka untuk memperbaiki kemahiran komunikasi untuk persediaan masa hadapan.

Parlimen Mahasiswa, Mubarak

Artikel Berikut

Artikel Lain