DAVOS (Switzerland): Malaysia yakin dapat mengharungi keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang memandangkan asas ekonomi negara yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib membangkitkan kebimbangan beliau tentang kejatuhan harga minyak global dan percaya langkah-langkah pencegahan awal yang diumumkan baru-baru ini adalah suatu yang mencerminkan keadaan sebenar. "Sudah tentunya kami bimbang dengan keadaan tidak menentu sekarang tetapi kami percaya dengan asas yang kukuh. "Pasaran akan membuat pembetulannya dan pada masa yang sesuai, kami akan menangani keadaan ini dan kami akan kembali semula ke landasan sebenar," katanya dalam ucap tama beliau pada majlis makan tengah hari perniagaan di luar Forum Ekonomi Dunia Ke-45 yang diadakan di sini. Najib, yang juga menteri kewangan berkata selain daripada langkah-langkah ini, usaha mempelbagaikan ekonomi serta terus menjadi lebih kompetitif, banyak membantu dalam mengharungi pergolakan ekonomi ini. Bagi tempoh lima tahun lepas, ekonomi Malaysia berkembang dengan baik termasuk pasaran saham yang mencatatkan paras paling tinggi serta meraih pelaburan langsung asing tertinggi dalam sejarah pada 2013, kata Najib. "Secara ringkasnya, prestasi Malaysia masih baik dan saya harap anda sama-sama yakin dengannya. "Jadi, selamat datang ke Malaysia dan saya berharap anda (pelabur) akan menjadi rakan kongsi kami dan percaya dengan prestasi Malaysia," katanya. Selain itu, lokasi Malaysia yang berada di tengah-tengah Asia menawarkan potensi pertumbuhan amat besar bagi dunia serta perkumpulan ASEAN, katanya. "ASEAN akan menjadi kuasa utama yang perlu dipertimbangkan dan Malaysia terletak di tengah-tengahnya," katanya. Najib berkata dengan mengisytiharkan ASEAN sebagi satu komuniti ekonomi tahun ini, bermakna akan terdapat banyak langkah bagi mengurangkan kebanyakan tarif untuk menjadi satu pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran tunggal. "ASEAN dengan penduduk lebih 620 juta orang akan mempunyai gabungan keluaran dalam negara kasar sebanyak US$4 trilion menjelang 2020," katanya. Majlis makan tengah hari perniagaan itu dihoskan oleh Khazanah Nasional Bhd, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan InvestKL. Kira-kira 55 ketua industri utama global serta 39 ketua industri tempatan menghadiri acara itu termasuk Royal Vopak, Barclays, Huawei, LaFarge, Novartis dan banyak lagi. Ketua industri tempatan yang menyertainya termasuklah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata President Datuk Seri Jamaludin Ibrahim dan Pengerusi UEM Group Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.