PETALING JAYA: Proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) melalui sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) boleh menimbulkan masalah pembantu rumah 'hilang', demikian didedahkan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap). Difahamkan sebelum ini terdapat aduan mengenai pembantu rumah asing di negara ini yang tidak dapat dijejak oleh keluarga di negara asal. Dakwa Pikap, situasi itu boleh berlaku kerana melalui sistem MyEG, majikan boleh memperbaharui permit pembantu rumah tanpa pengetahuan atau kerelaan pembantu rumah. Presiden Pikap, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, ia menyebabkan jaminan perlindungan dan keselamatan menerusi sistem dalam talian tersebut boleh dipersoalkan. Beliau mendakwa permohonan PLKS melalui sistem MyEG yang bertujuan untuk memudahkan urusan tanpa perlu beratur panjang di kaunter secara tidak langsung menyebabkan majikan dapat memperbaharui permit tanpa kerelaan pekerja. “Saya difahamkan ada ahli keluarga kepada pembantu rumah yang bekerja di negara ini mengadu tidak dapat menjejaki anak atau saudara mereka yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman. “Memang ada kes seperti ini, dipaksa bekerja tanpa kerelaan, malah kemungkinan wujud eksploitasi sama ada majikan ‘menjual’ pembantu rumah kepada pihak lain atau mengarahkan mereka melakukan tugas lain, bukan sebagai pembantu rumah,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Beliau menyuarakan kebimbangan itu, lebih-lebih lagi sistem dalam talian bagi memperbaharuai PLKS yang mengenakan caj RM38 bagi setiap permohonan yang dikuat kuasakan kepada majikan sejak 5 Januari lalu. Mengulas lanjut mengenai eksploitasi pembantu rumah, Raja Zulkepley menjelaskan, antara lain yang boleh berlaku ialah isu gaji yang tidak dibayar, didera atau gangguan seksual. Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jaminan bahawa tiada penganiayaan terhadap pembantu rumah sekiranya sistem itu diperkenalkan. “Kalau perkara buruk berlaku terhadap pembantu rumah, agensi pekerja asing berdaftar tidak akan bertanggungjawab. Adakah MyEG akan bertanggungjawab? “Sebab itu agensi pekerja asing sebenarnya berperanan membantu memberi perlindungan dan menjaga kebajikan mereka,” katanya. Menurut Raja Zulkepley, lebih membimbangkan apabila kaedah baharu itu tidak akan menggalakkan minat pembantu rumah untuk bekerja di Malaysia. “Besar kemungkinan negara-negara sumber akan memperlahankan penghantaran pembantu rumah ke negara ini atau lebih membimbangkan kesannya akan menyebabkan mereka mengadakan sekatan atau moratorium. “Sudah tentu kesannya secara tidak langsung akan mencalarkan imej Malaysia di kalangan negara-negara sumber dan negara ini akan berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja asing,” katanya.