GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 11 Februari sebagai tarikh untuk memutuskan jumlah ganti rugi bagi saman kecuaian perubatan yang dimenangi bekas atlet junior kebangsaan Nor Azleen Mohammad Mustafa. Peguam Dr N. Ahilan, yang mewakili Nor Azleen, berkata anak guamnya memfailkan tuntutan RM4.6 juta bagi ganti rugi am dan khas. Katanya satu tarikh ditetapkan bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin. Nor Azleen, 24, bekas pelari 100m, yang mewakili Pulau Pinang dan Malaysia pada kejohanan junior, memfailkan saman itu terhadap Dr Omar Md Isa dari Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) beberapa tahun lepas setelah mengalami lumpuh sebahagian tubuh akibat pembedahan tulang belakang pada 3 Sept, 2005. Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak samannya pada 9 November 2012, Nor Azleen memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Pada 21 Julai tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus, meluluskan permohonannya untuk merayu.