suria

Penduduk Song Resah Bekalan Petrol Habis

SIBU: Penduduk di daerah Song di bahagian Kapit resah apabila bekalan petrol di kawasan itu kehabisan sejak empat hari lalu.

Ketiadaan bekalan petrol itu menimbulkan masalah kepada mereka yang menggunakan kenderaan darat mahupun sungai.

"Ibu bapa khasnya susah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sama ada naik kereta ataupun perahu panjang," kata Daisy Unggang.

Menurut beliau, bekalan petrol yang dibawa menggunakan tongkang dari Kapit sepatutnya tiba di Song malam tadi, namun apabila beliau pergi ke stesen minyak di pekan Song pagi tadi, stesen minyak itu masih belum mendapat bekalannya.

Malah beliau terpaksa menolak motosikalnya balik ke rumah yang terletak hampir dua kilometer kerana kehabisan petrol.

Menurut beliau, ketiadaan bekalan petrol itu berlaku di stesen minyak di daratan dan juga stesen minyak terapung di sungai.

Sekarang kita hanya mampu menunggu tongkang membawa bekalan petrol dari Kapit untuk tiba, katanya.

Menurut kakak beliau Doris, ada penduduk rumah panjang yang 'dating' menggunakan perahu dari hulu Sungai Katibas tidak dapat balik kerana enjin sangkut mereka kehabisan minyak.

Mereka terpaksa bermalam di rumah saudara mara di sini ataupun di rumah tumpangan sekiranya tiada saudara mara dan ini amat menyusahkan mereka, katanya.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Kapit, Jubin Janggong ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara tersebut dan akan menyiasat punca bekalan itu belum sampai.
petrol, Song, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain