KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di atas 34 pertuduhan menipu 14 mangsa melibatkan wang berjumlah RM6.7 juta lima tahun lepas. Ahmad Sabri Abdul Manaf, 64, didakwa memperdayakan 14 orang dengan mengaku dirinya boleh membuat pelaburan berkaitan suatu perniagaan Malaysia Airlines System (MAS) iaitu pembelian dan penjualan semula tiket penerbangan sempena musim perlumbaan Formula 1 (F1) Sepang, April 2011. Mengikut pertuduhan itu, Ahmad Sabri juga mengaku boleh mendapatkan pulangan modal yang dijamin keuntungan antara 10 sehingga 20 peratus dan menawarkan kepada mangsa-mangsa untuk menyertai kontrak tersebut sehingga mendorong mereka menyerahkan wang yang berjumlah RM6.7 juta kepadanya. Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur antara April 2010 hingga Februari 2011. Bagi pertuduhan itu, Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis Hulu Kelang pada minggu pertama setiap bulan. Sebelum itu, Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia Mohd Shukri Ahmad Mansor menawarkan jaminan RM1 juta atas alasan sebelum ini tertuduh sukar dijejaki kerana kerap menukar nombor telefon, tiada di alamat seperti diberi kepada pegawai dan didapati menipu pegawai penyiasat sebelum ditangkap pada Rabu. Semasa rayuan, Peguam Afifuddin Hafifi memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan syarat tambahan sudah menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah dan wang jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukan menghukumnya. "Selain itu, tertuduh menukar nombor telefon itu adalah haknya sebagai pengguna dan bukan bukti dia mengelak atau tidak bekerjasama dengan pegawai penyiasat," katanya. Ahmad Sabri didakwa terhadap satu lagi pertuduhan iaitu menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di CIMB Bank Berhad cawangan KLCC, Suria KLCC di sini antara 15 April 2010 hingga 18 Februari 2011. Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi kewangan 1989 (Akta 372) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a) Akta yang sama. Mat Ghani membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan yang sama seperti pertuduhan sebelum ini. Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, isteri Ahmad Sabri, Felinnia Saruti Sadri, 37, didakwa atas pertuduhan bersubahat bersama suaminya dengan menerima deposit daripada orang awam tanpa memegang lesen yang sah di tempat, masa dan tarikh yang sama. Felinnia Saruti turut didakwa terhadap 21 pertuduhan menipu yang sama dengan suaminya di tempat, masa dan tarikh sama melibatkan jumlah RM5.2 juta. Hakim Abdul Rashid Daud membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah dan Felinnia Saruti perlu melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya NurShuhaida Zainal Azahar dan Hashimah Hashim. Mahkamah menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan kes mereka.