KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk seorang warga tempatan maut setelah kenderaan dinaiki mereka terperosok di bawah sebuah bas kilang dalam kemalangan ngeri di Jalan Sungai Choh, berhampiran Taman Bukit Teratai, Rawang, malam Sabtu. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata mangsa yang meninggal dunia hanya dikenali sebagai Alimin, seorang warga tempatan berusia awal 20-an serta warga Bangladesh dikenali Liyas dan warga Nepal dikenali Surya yang juga berusia awal 20-an. Seorang lagi mangsa yang juga dipercayai warga asing masih belum dapat dikenal pasti identitinya, katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian akibat tersepit setelah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki mereka terperosok di bahagian bawah bas terbabit. Beliau berkata bomba mengambil masa selama satu jam setengah untuk memotong bahagian tengah kereta bagi mengeluarkan mayat mangsa. "Kesemua mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 9.30 malam ini dan telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama. Mohd Sani berkata, pemandu bas kilang itu bagaimanapun tidak ditemukan di lokasi kejadian dan bas itu kosong tanpa penumpang.