suria

Jangan Biar Golongan Ekstremis Kawal Sosial, Politik Negara - Nazir

Datuk Seri Nazir Razak
PETALING JAYA: Anda boleh menyuarakan apa sahaja pandangan atau pendapat dengan secara bersederhana di negara ini. Salah seorang pemimpin korporat terkemuka, Datuk Seri Nazir Razak, juga melakukannya.

Nazir, Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, yang merupakan salah sebuah bank utama di Asean percaya suara-suara golongan ekstremis tidak mampu menjadi lebih kuat dan menentukan wacana sosial dan politik kita.

"Saya gembira apabila semakin ramai rakyat Malaysia yang tampil untuk bersuara. Kita perlu melakukannya. Rakyat Malaysia semuanya sentiasa bersama-sama dalam perkara ini," katanya.

"Saya menyokong kesederhanaan, majoriti rakyat tidak lagi mahu berdiam diri. Saya gembira apabila mereka bersuara walaupun terpaksa berhadapan dengan penghinaan dan serangan peribadi."

Beliau memuji The Star yang memulakan kempen  Voices of Moderation (Suara Kesederhanaan) dan bersetuju dengan surat terbuka yang dikeluarkan bulan lepas oleh 25 Melayu Terkemuka (G25) , yang memanggil pendekatan sederhana untuk menyelesaikan pertikaian ke atas kedudukan dan pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.

"Kita juga perlu membincangkan peranan Islam dan undang-undang Islam, dan bagaimana mereka wujud bersama-sama dengan masyarakat kita yang berbilang kaum, Perlembagaan dan undang-undang sivil. Kita juga perlu bertanya jika kita perlu menyusun semula sistem dan dasar pendidikan.

"Semakin lama kita meninggalkan isu-isu besar tanpa dapat diatasi, semakin lama kita akan terus hanyut dalam arus sosial, politik dan ekonomi," Nazir, salah seorang daripada beberapa Ketua Pegawai Eksekutif yang sering memberikan pendapat tentang isu-isu negara dan dasar-dasar kerajaan memberi amaran. 


Katanya, penubuhan Jawatankuasa Perundingan Negara, sama dengan yang terbentuk ketika peristiwa 13 Mei 1969, seharusnya menjadi langkah seterusnya untuk "melihat situasi rakyat di negara ini secara komprehensif dan mencadangkan langkah baharu untuk bergerak ke hadapan" .

"Kita tidak boleh menunggu sehingga perkara berantakan (dan itu adalah arah yang kita tuju) sebelum kita bertindak," katanya dalam temu bual dengan Sunday Star.

Nazir juga menggesa kajian semula dasar-dasar yang mempunyai kesan mendalam kepada perpaduan di Malaysia.

"Pada akhir 1960-an, kita telah mendapat mendapat pengajaran tentang ekstremisme di negara kita yang berbilang kaum dan agama.

"Pemimpin-pemimpin kita mengemukakan formula baharu tentang bagaimana untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan, termasuklah had kebebasan bersuara dan Dasar Ekonomi Baru.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita menyegarkan semula formula itu supaya ia menjadi lebih relevan untuk dunia hari ini," katanya.

Untuk berbuat demikian, tambah beliau, kita perlu melihat kembali prinsip dan aspirasi pemimpin terdahulu dan hari-hari di mana rakyat bersatu dalam sebuah negara.

Nazir yang lantang menyuarakan pendapat ini kadangkala berdepan serangan peribadi, dan lebih rumit lagi apabila beliau adalah adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi beliau percaya bahawa mereka yang berada dalam barisan kepimpinan perlu bersuara untuk membantu menjadikan negara ini lebih baik.

"Mereka yang mengeksploitasi isu-isu sensitif untuk menghasut kemarahan dan kebencian harus dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Kebebasan bersuara tidak bermakna kebebasan untuk menghina agama, bangsa atau bahasa lain dan apabila ada yang melanggar garisan itu, tidak kira siapa mereka, kita perlu memberi pengajaran kepada mereka."

Artikel Lain