JAKARTA: Laporan awal mengenai nahas sebuah pesawat penumpang AirAsia bulan lepas yang mengorbankan 162 orang tidak akan termasuk analisis rakaman kotak hitam penerbangan, kata pegawai penyiasat Indonesia, Selasa. Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSC) akan mengemukakan penemuan awalnya minggu ini kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengenai kemalangan maut pertama melibatkan syarikat penerbangan AirAsia. Penerbangan QZ8501 hilang dari skrin radar pada 28 Disember, kurang dari separuh perjalanan penerbangan dua jam dari Surabaya, bandar kedua terbesar di Indonesia, ke Singapura. Tidak ada yang ditemui selamat Operasi carian multinasional telah berjaya menemui 70 mayat setakat ini dan lebih banyak mayat diharap dapat ditemui selepas fiuslaj pesawat dapat dikesan. Tetapi cuaca dan jarak penglihatan di dasar laut yang buruk telah menghalang usaha penyelam tentera laut.