suria

Peguam Malaysia Kini Di Sydney, Usaha Bebas Sirul Dari Tahanan

Sirul Azhar Umar
PETALING JAYA: Peguam Malaysia yang mewakili bekas komando polis Sirul Azhar Umar kini berada di Australia sebagai usaha  untuk mendapatkan pembebasan anak guamnya dari pusat tahanan di Sydney, di mana dia sedang ditahan.

"Rancangan ini adalah satu percubaan dan usaha melakukan sesuatu supaya dia dapat keluar dari pusat tahanan," kata peguam Sirul, Hasnal Rezua ketika dihubungi The Star Online, Selasa.

Hasnal menambah beliau kini berada di Australia dengan seorang lagi ahli pasukan undang-undang Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin.

"Kami tiba pada Ahad dan kami akan kembali ke Malaysia pada Khamis.

"Dan saya ingin menyatakan bahawa sebahagian daripada apa yang kita ingin lakukan telah pun dilakukan di Australia, selebihnya kita boleh lakukannya dari Malaysia," kata Hasnal.

Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada Jumaat lepas melaporkan bahawa Sirul, 43, telah dipindahkan ke bahagian keselamatan maksimum di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.

Sirul dan bekas rakan sekerjanya Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati pada 13 Januari lalu kerana membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Dia telah ditahan Selasa lalu oleh pegawai imigresen Australia selepas notis merah dikeluarkan oleh Interpol.

Menurut ABC, bekas komando itu sedang menetap dengan ahli keluarganya di barat Brisbane ketika ditahan.

Dipercayai Sirul tinggal dengan anak lelakinya yang berusia 19 tahun dan saudara lain di Ipswich, Queensland, selama beberapa bulan, selepas memasuki negara itu menggunakan visa dan pasport yang sah tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain