suria

Satu Pertiga Pesakit Denggi Di HKL Adalah Pekerja Asing

KUALA LUMPUR: Pekerja asing yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini adalah satu pertiga daripada jumlah pesakit denggi di wad tersebut.

Pakar kesihatannya, Dr Saiful Safuan Md Sani berkata pekerja asing itu kebanyakannya terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Nepal.

"Sama ada rakyat tempatan atau warga asing, pesakit di HKL datang dari kawasan kejiranan yang padat," katanya.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa ahlinya untuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang baik untuk pekerja asing dan mengajar mereka untuk mengamalkan kebersihan.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata pekerja asing tidak sepatutnya dibiarkan tinggal di rumah sementara yang tidak mempunyai kemudahan secukupnya.

"Sekiranya mereka tidak menjaga kebersihan, penyakit denggi akan merebak di kalangan mereka, menjejaskan produktiviti dan keuntungan," tegasnya.

Malah, beliau berkata, perlu ada pengurusan sampah yang lebih efisyen di tapak pembinaan untuk menggelakkan penularan wabak denggi.

"Terdapat timbunan sampah yang ditinggalkan di tapak pembinaan yang menarik kehadiran lalat, manakala kolam yang bertakung memudahkan nyamuk untuk membiak.

"Majikan harus mengajar pekerja mereka mengenai cara menjaga kebersihan di tempat tinggal dan tapak kerja mereka," katanya.

Pada Ahad, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kira-kira 3,000 kes denggi terbaharu dilaporkan di seluruh negara sejak beberapa minggu lalu dengan 1,000 kes disahkan berlaku di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya mengambil pendekatan proaktif dalam memerangi wabak itu.

"Kami memulakan kempen Terjah dan Musnah denggi di kawasan yang mencatatkan kadar kes tertinggi," katanya selepas menghadiri satu majlis di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong di sini.

Azmin berkata masalah itu perlu ditangani secara bersama oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan.

denggi, warga asing, HKL

Artikel Lain