KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa simpati beliau bagi keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370, susulan pengumuman kerajaan Malaysia bahawa MH370 adalah satu kemalangan. Beliau berkata pencarian bagi pesawat malang itu akan diteruskan. "Hari ini doa saya ialah bersama keluarga penumpang MH370.Operasi mencari akan diteruskan. Malaysia, Australia dan China terus komited untuk menjejaki pesawat," kata beliau dalam catatan terbarunya dalam Twitternys. Pada petang Khamis, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan bahawa kerajaan mengisytiharkan 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap telah meninggal dunia. Pesawat Boeing 777-220ER milik MAS itu, yang dalam perjalanan ke Beijing, hilang daripada imbasan radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac 2014. Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam tweet terbarunya berkata: "Harapan dan doa saya sentiasa bersama anggota keluarga mereka yang berada di dalam pesawat MH370. Ia telah dan terus menjadi masa yang sukar untuk mereka dan negara."