PETALING JAYA: Memasuki hari ke-327 pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dilaporkan hilang, waris keluarga masih sukar untuk menerima pesawat tersebut diisytiharkan kemalangan. Waris keluarga mahu meneruskan kehidupan masing-masing tetapi kekurangan bukti mengenai kehilangan pesawat tersebut menyukarkan mereka untuk melupakan tragedi hitam itu. Selamat Omar, 61, bapa kepada Mohd Khairul Amri Selamat, salah seorang penumpang di dalam penerbangan itu berkata, selepas menunggu hampir setahun, tiada sebarang maklumat kepada penutup mengenai kehilangan pesawat tersebut. "Saya tahu hidup perlu diteruskan dan saya akan melakukannya, tetapi saya berharap kerajaan perlu memastikan keluarga diberikan lebih perhatian terhadap maklumat ini," katanya. Dr Ghouse Mohd Noor, rakan kepada kapten MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah berkata dari segi undang-undang, waris keluarga harus menerima pengumuman yang diisytiharkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA). "Namun saya berharap pencarian pesawat tersebut diteruskan demi keluarga mangsa kerana mereka mahukan penutupnya. Anda tidak boleh mendapatkan penutupan insiden itu melalui terma undang-undang," katanya yang juga rakan sekolah Kapten Zaharie. Seorang lagi rakannya, Peter Chong berkata kenyataan DCA sekurang-kurang 'permulaan kepada penutupan' misteri kehilangan pesawat itu. "Kenyataan itu amat berani dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukannya. "Ia kenyataan yang sukar untuk diumumkan tetapi akhirnya, keprihatinan utama adalah waris keluarga," katanya. Namun, Chong berkata adalah tidak tepat untuk menganggap kesemua 239 penumpang dan anak kapal terkorban. "Saya tidak rasa ia tindakan tepat untuk mengisytiharkan semua anak kapal dan penumpang terkorban. Ia sensitif kepada mereka (keluarga)," katanya. Dalam tempoh 10 bulan sejak misteri kehilangan MH370, Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia penerbangan itu, Patrick Gomes menjadi tulang belakang kepada keluarganya. Namun, selepas pengumuman oleh DCA pada Khamis yang mengisytiharkan kesemua dalam pesawat tersebut terkorban adalah sukar diterima. "Mereka boleh isytiharkan suami saya terkorban tetapi saya tidak boleh menerimanya. Saya tidak akan berputus asa. "Kami sepatutnya dimaklumkan mengenainya terlebih dahulu. Kami adalah waris keluarga. Tidakkah kami orang pertama yang perlu dimaklumkan dan bukannya menerusi pengumuman di televisyen. "Bagaimana mereka boleh membuat pengisytiharan seperti itu? Sudahkah mereka menjumpai pesawat tersebut," katanya. Elaine Chew, isteri kepada pramugara Tan Size Hiang berkata, dia juga tidak boleh menerima pengumuman tersebut. "Bagaimana saya mahu menjelaskan mengenainya kepada anak perempuan saya," katanya. Mohamad Shahril Shaari, sepupu kepada salah seorang penumpang, Mohammad Razahan Zamani berkata, keluarganya tidak akan menerima pampasan tanpa sebarang bukti. "Tiada seorang pun daripada kami meminta untuk mendapatkan pampasan. Kami hanya mahu tahu dimana ahli keluarga kami berada dan bagaimana mereka terkorban," katanya.