PETALING JAYA: Tragedi nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine Julai lalu terus mendapat perhatian dunia apabila peguam antarabangsa dijadualkan akan ke Kuala Lumpur dan bertemu ahli keluarga mangsa dalam tempoh terdekat. Dua peguam terkenal itu dikatakan akan terbang dari Amerika Syarikat (AS) bagi menawarkan bantuan kepakaran dan memastikan kepentingan ahli keluarga dilindungi mengikut sistem perundangan, seterusnya mendapat keadilan daripada insiden yang berlaku. Difahamkan, kunjungan mereka ke sini bukanlah atas jemputan waris atau mana-mana ahli keluarga mangsa, sebaliknya mendakwa ‘dihantar’ oleh sebuah firma pengurusan tuntutan yang berpengkalan di Australia. Syarikat tersebut berpengalaman dalam menyediakan bantuan kepakaran kepada mangsa dan ahli keluarga yang terbabit dalam kemalangan udara di seluruh dunia sejak 1991. Salah seorang ahli keluarga mangsa MH17 yang enggan dikenali berkata, beliau sedikit terkejut apabila menerima mesej melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp (gambar bawah) pada minggu ini. Katanya, mesej tersebut dihantar oleh seorang wakil dari sebuah syarikat pengurusan tuntutan Australia yang memperkenalkan dirinya sebagai Santha. Dalam mesej yang dipercayai dihantar kepada semua waris mangsa, beliau memaklumkan tentang objektif kunjungan dan pertemuan iaitu bagi memastikan kepentingan setiap waris mangsa dilindungi dan mereka mendapat keadilan sepenuhnya. “Saya terima satu mesej memberitahu bahawa seorang pengarah dan peguam dari firma guaman di Amerika akan datang ke Kuala Lumpur dan bertemu keluarga mangsa MH17. “Untuk memastikan bahawa mesej itu bukan mesej palsu, saya bertanyakan kepada beberapa ahli keluarga mangsa yang lain bagi mendapatkan kepastian dan mereka mengesahkan menerima mesej sama,” katanya kepada mStar Online, Khamis. Bagaimanapun beliau berkata, dia telah membuat keputusan untuk tidak hadir pertemuan itu dan tidak akan memberi sebarang maklum balas terhadap mesej tersebut. Menurut mesej yang diterima, ia juga bertanya sama ada waris atau ahli keluarga mangsa mempunyai kelapangan masa dalam tempoh yang dicadangkan, selain bentuk pertemuan bagaimana yang dirasakan lebih selesa, sama ada secara individu atau berkumpulan. Mariyam Yusoff, isteri kepada Ketua Juruterbang MH17, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin berkata, dia tidak terkejut menerima mesej tersebut ketika seluruh dunia masih memperkatakan tentang nahas pesawat itu yang berlaku pada 17 Julai tahun lalu. Bagaimanapun katanya, tawaran itu tidak diterimanya memandangkan dia sudah pun mempunyai peguam yang turut mewakili beberapa ahli keluarga mangsa yang lain. "Sebarang perbincangan dan keputusan berkaitan dengan suami saya akan dilakukan bersama peguam saya. Itu yang saya katakan kepada dia. "Apa yang saya harapkan adalah hak dan keadilan di atas kejadian yang menimpa suami," kata Mariyam yang pertama kali menerima mesej seumpama itu dan tidak mengenal wanita yang mengirimkam mesej berkenaan. Bagi Chong Seng See, abang kepada pramugari MH17, mendiang Chong Yee Peng, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan terhadap tawaran itu. Katanya, walaupun ahli keluarganya tidak mempunyai peguam untuk diwakili berhubung insiden MH17 ketika ini, tetapi setiap keputusan perlu dipertimbangkan dengan teliti. "Banyak perkara yang kami sekeluarga perlu pertimbangkan demi keadilan dia (Yee Peng) tetapi masih belum ada keputusan dibuat pada masa ini. "Kami akan fikirkan apakah yang terbaik. Namun apa yang lebih penting sekarang adalah menjaga hati ahli keluarga masing-masing yang sedang meneruskan kehidupan baharu di atas kejadian yang berlaku," katanya sambil menambah mesej berkenaan diterima oleh salah seorang ahli keluarganya dua hari lalu. Sementara itu, isteri kepada salah seorang krew MH17 mengesahkan menerima mesej tersebut tetapi belum membuat keputusan sama ada mahu terlibat dengannya ataupun tidak. “Melantik peguam atau mengambil tindakan undang-undang bukanlah apa yang ada dalam fikiran saya atau sedang saya usahakan pada masa ini," katanya. Katanya, dalam hal ini beliau tidak mahu membuat keputusan berdasarkan ‘apa yang orang lain kata’ sebaliknya akan melihat situasi yang berlaku secara keseluruhan dan menyeluruh terlebih dahulu. “Sehingga sekarang saya belum melantik mana-mana peguam. Perkara itu adalah begitu jauh,” katanya.