KUALA LUMPUR: Berselang dua hari, satu lagi kes kanak-kanak maut akibat jatuh bangunan dilapor berlaku yang kali ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh dari balkoni tingkat lapan sebuah apartmen di Taman Nirwana, Ampang pagi Jumaat. Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi ketika Mohd Hadif Hadfi Mohd Nazim, 5, berseorangan di rumahnya di Apartment Ketapang Villa. Menurut bapanya, Mohd Nazim Moin, anaknya itu dipercayai telah memanjat balkoni dengan berpijak kepada basikalnya selepas membuka pintu gelangsar rumah mereka. Beliau berkata anak bongsunya itu dijumpai mati tertiarap dengan kecederaan parah di kepala di tingkat bawah oleh penghuni lain yang memaklumkan kepada pembantu rumahnya yang baru balik dari membeli barangan di kedai berdekatan. Anaknya yang sedang tidur ketika itu ditinggalkan pembantu rumahnya untuk ke kedai, katanya. "Menjadi kebiasaan, anak saya akan bangun antara pukul 10 dan 11 pagi. Namun hari ini dia dipercayai bangun lebih awal dari biasa. Saya percaya dia memanjat balkoni kerana mahu mencari pengasuhnya," kata Mohd Nazim yang bekerja sebagai seorang jurutera. Beliau dan isterinya ketika itu telah keluar bertugas. Mayat Mohd Hadif Hadfi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru petang Jumaat. Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairuldin Saad berkata pihaknya sedang menyoal siasat pembantu rumah warga Indonesia berusia 45 tahun itu serta penghuni yang lain. Rabu lepas seorang kanak-kanak turut maut selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat enam Projek Perumahan Rakyat di Kota Damansara.