suria

MH370: Perkeso Mulakan Proses Pengurusan Bayaran Faedah

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memulakan proses pengurusan bayaran faedah kepada waris mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang layak.

Ini termasuk, kepada semua 12 anak kapal beserta sembilan kakitangan Syarikat Freescale Semiconductor Malaysia Sdn Bhd yang dalam perjalanan menghadiri kursus di China, seperti mana tertakluk di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata di bawah skim itu, waris layak menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM1,500 dan bayaran berkala maksimum RM2,655 sebulan di bawah Faedah Orang Tanggungan, sama ada kepada balu, duda, anak-anak atau ibu bapa dan adik-beradik.

"Perkeso akan memastikan semua penumpang MH370 yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 mendapat faedah orang tanggungan atau pencen penakat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Riot berkata Perkeso juga sentiasa bersedia membantu waris dan anggota keluarga yang terlibat dalam memastikan kebajikan dan kepentingan mereka terbela di bawah liputan perlindungan skim keselamatan sosial.

Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam, 8 Mac, 2014. Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan insiden kehilangan pesawat MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dianggap terkorban.

Perkeso, MAS, MH370

Artikel Sebelum

Sultan Pahang Tidak Puas Hati

Artikel Berikut

Lagi Kanak-Kanak Jatuh Bangunan

Artikel Lain