suria

Projek Datum Jelatek Akan Diteruskan, Tiada Ruang Untuk Rasisme

Mohamed Azmin Ali.
AMPANG: Projek Datum Jelatek akan diteruskan walaupun mendapat bantahan, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada Jumaat.

Azmin berkata kerajaan negeri bersedia untuk mendengar semua cadangan bernas untuk pembangunan.

"Saya telah bertemu penduduk dan wakil masjid beberapa kali tetapi saya tidak akan melayan apa-apa bantahan berdasarkan bangsa.

"Jangan bermain dengan sentimen perkauman kerana ia tidak akan membantu pembangunan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

"Saya ingin menghantar mesej jelas kepada rakyat Selangor dan Malaysia bahawa tiada ruang untuk ekstremis, fanatik atau rasisme," kata Azmin kepada pemberita selepas majlis penutup Perhimpunan Belia Antarabangsa 2015 di Hotel Flamingo di sini, Jumaat.

Pada 25 Januari lalu, ratusan individu berkumpul membantah pembinaan kondominium mewah Datum Jelatek di Keramat, Ampang Jaya.

Dalam bantahan itu, kumpulan tersebut turut memecahkan dinding penghalang tapak projek berkenaan kerana tidak puas hati terhadap pemaju yang enggan memberhentikan pembangunan itu. 

Mereka mendakwa projek tersebut tidak membawa manfaat kepada orang Melayu kerana kebanyakan golongan tersebut tidak berkemampuan untuk membeli unit di kondominium terbabit.

Mohamed Azmin Ali, Datum Jelatek

Artikel Sebelum

Artikel Lain