KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan ada mengeluarkan kenyataan media bagi mengharamkan satu akaun Instagram atas nama 'The Rich Kids of Malaysia'. Pegawai Perhubungan Awam Jakim, Aisha Al-Kharib Shah berkata pihaknya tiada kena mengena dengan kenyataan yang tersebar di media sosial itu. Kenyataan palsu bertajuk 'Status Akaun Instagram The Rich Kids of Malaysia' bertarikh 6 Februari itu dikeluarkan atas nama Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha. "Kita menafikan sama sekali kenyataan itu dikeluarkan Jakim," kata Aisha kepada Bernama pada Jumaat. Antara lain, kenyataan palsu itu menyebut Jakim mengambil keputusan mengharamkan akaun berkenaan kerana beberapa faktor antaranya gambar-gambar yang dimuat naik menonjolkan sifat riak yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.