suria

MH17 Ditembak: Waris Anak Kapal Ada Hak Tuntut Keadilan - Peguam

PETALING JAYA: Peguam antarabangsa percaya hak waris untuk menuntut keadilan terhadap anak kapal pesawat malang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine Julai lalu tidak akan diketepikan.

Seorang peguam antarabangsa dari Australia berkata, peluang untuk kru mendapat hak sama rata dengan penumpang tetap ada walaupun perjanjian antarabangsa Konvensyen Montreal 1999 secara jelas memperuntukkan lebih perlindungan kepada penumpang yang mengalami kecederaan atau kematian akibat nahas penerbangan.

Perkara itu merupakan antara persoalan yang dibangkitkan sebahagian waris anak kapal yang hadir ke satu pertemuan tertutup bersama peguam tersebut, Rabu lalu.

Menurut sumber, peguam antarabangsa itu dalam taklimatnya beberapa kali mengulangi tentang Konvensyen Montreal 1999 yang dikatakannya lebih berpihak kepada penumpang.

Tambahnya, peguam itu memberitahu jika hendak diikutkan kebarangkalian, peluang untuk menuntut keadilan mewakili anak kapal adalah 50-50.

Namun katanya, insiden MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine merupakan kes yang berbeza berbanding nahas pesawat lain kerana ia bukan berpunca daripada kesilapan manusia yang dilakukan oleh anak kapal atau masalah teknikal.

"Insiden MH17 bukan kemalangan biasa. Pesawat itu ditembak jatuh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, maka tidak sepatutnya meletakkan atau mempersalahkan anak kapal sebagai punca nahas.

"Mereka (anak kapal) juga seperti penumpang yang menjadi ‘mangsa’ nahas. Kalau bukan kesilapan manusia yang disebabkan oleh anak kapal atau masalah teknikal, maka nasib anak kapal yang terkorban juga seharusnya dibela, seperti penumpang yang menaiki pesawat itu," katanya memetik peguam tersebut ketika memberikan taklimat yang dihadirinya.

Sumber itu berkata, peguam tersebut meyakinkan waris bahawa firmanya berpengalaman mengendalikan tindakan mahkamah untuk waris mangsa bagi nahas pesawat terutama membabitkan anak kapal.

"Kira-kira 60 peratus daripada kes yang dikendalikan firma itu membabitkan pampasan atau tuntutan oleh waris anak kapal," katanya.

Memetik kata peguam itu: “Saya boleh katakan adanya peluang untuk buat tuntutan (keadilan). Peluang itu memang ada jika melihat kejadian yang menimpa MH17.

"Seorang lagi waris anak kapal MH17 yang baru-baru ini berbincang dengan peguam dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia mengenai perkara ini berkata, beberapa persoalan yang timbul mengenai insiden itu membuka peluang kepada waris untuk terus berjuang bagi 'menidakkan' kewujudan diskriminasi dari segi jumlah pampasan.

Malah, waris tersebut yang enggan dikenali berkata, saman juga boleh difailkan terhadap beberapa pihak termasuk kumpulan antarabangsa.

Katanya, soalan 'cepu emas' iaitu peluang untuk menang turut ditanya kepada dua peguam tersebut.

"Melihat kepada insiden MH17, mereka kata kami sepatutnya menang, tetapi mereka dalam masa yang sama berkata 'tak berani janji'.

"Ia bukan hanya soal pampasan, tetapi juga soal kawalan trafik di negara berkaitan, faktor peperangan dan zon konflik serta laluan penerbangan," katanya.

Dalam pertemuan yang diatur itu, dua peguam berkenaan bagaimanapun masih belum dapat memberikan nilai pampasan yang patut diterima waris anak kapal, tetapi menganggarkan ia boleh mencecah 'jutaan dolar Amerika'.

"Semua di atas kapal itu adalah manusia. Tak patut ada diskriminasi di antara juruterbang, anak kapal dan penumpang walaupun kru telah menandatangani perjanjian.

"Kes ini jelas, satu dunia tahu ia ditembak jatuh dan bukan berpunca daripada kesilapan manusia atau teknikal. Adakah nyawa kru dan penumpang berbeza-beza dalam situasi ini," waris tersebut memetik peguam yang ditemuinya sebagai berkata.

mStar Online dalam laporan eksklusifnya Khamis lalu mendedahkan  bahawa satu pertemuan tertutup yang besar telah diadakan di Kuala Lumpur, membabitkan 13 waris mewakili 10 anak kapal MH17 bagi mendengar taklimat oleh seorang peguam terkemuka dari sebuah syarikat pengurusan tuntutan yang berpangkalan di Australia.

Menurut laman web Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), pengesahan perjanjian universal bagi Konvensyen Montreal 1999 menyediakan banyak faedah antaranya penumpang akan mendapat lebih banyak perlindungan.

Baru-baru ini, ICAO merancang untuk mengumpul data mengenai risiko penerbangan ke zon konflik dan menyebarkan maklumat ini kepada syarikat penerbangan, sebagai reaksi terhadap nahas MH17.

MH17, Ukraine, Australia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain