KUANTAN: Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) kelahiran Jepun berjaya mengkagumkan penonton dengan kebolehannya bermain marimba (sejenis xilofon). Sayuri Shirai, yang telah beberapa tahun berlatih bermain marimba, turut berkebolehan membuat persembahan di beberapa majlis korporat. Ayahnya, Prof Dr Yoshihito Shirai, 58, berkata dia dan isterinya telah mengasah bakat Sayuri dalam bidang seni dengan memasukkan anak istimewa mereka itu ke dalam kumpulan persembahan kanak-kanak kurang upaya kira-kira 10 tahun lalu. "Ketika satu persembahan teater diadakan, kira-kira 1,000 penonton hadir memberikan sokongan. Sejak itu saya merasakan golongan kurang upaya juga boleh menjadi sebahagian daripada masyarakat. "Mereka masih boleh memberikan sumbangan kepada masyarakat dan saya mahu membuktikan kemampuan golongan kurang upaya ini," katanya. Dr Shirai yang juga Pengarah Institut Teknologi Kyushu Malaysia di Universiti Putra Malaysia, berkata Sayuri mula menunjukkan kebolehan bermain marimba sejak empat tahun lalu. "Kami mula mendapatkan khidmat guru profesional marimba untuk mengasah bakatnya. Kami merasakan muzik merupakan sebahagian daripada terapi yang sangat baik untuk golongan kurang upaya," katanya. "Dia tidak faham konsep nombor dan anggota badan yang lemah, dia tidak boleh bekerja dalam sektor pertanian. Ada syarikat di Jepun yang mengambil pekerja kurang upaya namun oleh kerana Sayuri tidak boleh mengira wang, agar sukar untuk dia meneruskan kehidupan dengan budaya kerja sedemikian. "Sebab itu mizuk sangat penting untuk masa depannya," katanya. Dr Shirai berkata di Jepun, ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya enggan berusaha membangunkan bakat dan keupayaan anak-anak mereka. "Agar sukar untuk memberikan peluang kepada golongan kurang upaya dan di Jepun persepsi ini sukar diubah. Keadaan ini sangat berbeza dengan Malaysia. Masyarakat di sini sangat memahami kepayahan yang dihadapi oleh golongan kurang upaya. "Golongan kurang upaya lebih diterima di sini," katanya sambil menambah Sayuri turut dijemput untuk membuat persembahan dalam acara dikir barat di UPM. Dr Shirai merupakan salah seorang speaker dalam satu seminar memperkasakan anak-anak Sindrom Down melalui muzik dan seni di Hotel MS Garden pada Ahad.