Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata operasi yang bermula pada 10 Februari lalu itu menyasarkan tapak binaan yang terletak di kawasan jangkitan denggi serta berhampiran dengan kejadian kes denggi.
Katanya, operasi itu dijalankan oleh satu skuad khas yang dibentuk di peringkat kementerian dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah.
"Operasi ini dijalankan secara mengejut agar keadaan sebenar di tapak binaan dapat dinilai dan tindakan yang lebih tegas dikenakan bagi tapak binaan yang didapati membiarkan pembiakan nyamuk berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
Selain itu 39 arahan penutupan premis tapak binaan telah dikeluarkan kepada pemaju yang melakukan kesalahan agar mengambil tindakan pencegahan dan pembersihan dengan kadar segera dalam masa tidak lebih daripada tujuh hari.
"Bagi tempoh sama, 45 kertas siasatan telah dibuka untuk tujuan pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan membenarkan pembiakan serangga pembawa penyakit," katanya.
Dr Noor Hisham berkata tindakan mahkamah bertujuan meningkatkan kesedaran pemaju di tapak binaan agar lebih prihatin mengenai kesejahteraan masyarakat di persekitaraan.
Katanya pemaju yang disabitkan kesalahan akan dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan berulang, denda maksimum adalah RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.