Adenan, dalam ucapan Tahun Baru Cinanya berkata, walaupun nenek moyang masyarakat Cina di negara ini yang datang dari China boleh dianggap sebagai pendatang, generasi sekarang tidak lagi dianggap sedemikian.
"Anda memanggil Sarawak sebagai rumah anda, dan sememangnya ini adalah rumah anda, sama seperti orang lain daripada kaum-kaum lain."
Beliau memberikan penghormatan kepada masyarakat Cina di negeri ini, yang dianggap sentiasa menjadi bahagian penting dalam politik dan ekonomi negeri.
Menggesa rakyat Sarawak untuk terus bergaul dan berinteraksi dengan kaum lain, Adenan berkata: "Marilah kita terus mendukung semangat kesederhanaan dalam perhubungan kita dengan orang lain.
"Bagi yang bukan masyarakat Cina, berkunjunglah ke rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk sama-sama berusaha mengukuhkan perpaduan di kalangan semua kaum."
Beliau berkata, Sarawak adalah milik rakyat Sarawak dan sikap saling menghormati dan nilai kemanusiaan perlu terus menjadi asas kepada hubungan antara rakyat di negeri ini.