PETALING JAYA: Pemilik motosikal berkuasa tinggi mengambil peluang daripada penurunan harga bahan api baru-baru ini dengan merancang lebih banyak perjalanan ke pelbagai destinasi pelancongan terkenal di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Setiausaha Agung Superbikes Association Malaysia (SAM), Sulaiman Samia'an yang baharu kembali dari trip 2,006km ke Sabah, Sarawak dan Brunei dengan sekumpulan 29 rakan penunggang berkata, kos perjalanan menjadi lebih murah untuk mereka. "Kami menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM600 untuk petrol tetapi hanya membayar kira-kira RM400 untuk sepanjang perjalanan. Wang tambahan itu digunakan untuk tujuan lain seperti penginapan dan makanan, " katanya. Sulaiman berkata konvoi itu, yang dikenali sebagai G20 Gold Wing, juga telah bekerjasama dengan rakan mereka dari Singapura dan Indonesia, mengambil kesempatan daripada penurunan harga minyak. "Kami juga melawat Lahad Datu untuk membantu meningkatkan imej negeri itu selepas pencerobohan militan dan penculikan di kawasan itu. "Kami berharap orang lain juga akan mengambil kesempatan daripada harga minyak yang lebih murah dan melawat kawasan pelancongan tempatan. Kami merancang untuk melancarkan konvoi yang lebih besar pada September, " katanya. Setiausaha Agung Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Tai Poh Kim berkata lebih ramai rakyat Malaysia akan melancong sepanjang tempoh bercuti. "Banyak hotel masih tidak ditempah sepenuhnya. Ia mungkin disebabkan kemasukan perlahan pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong, '' katanya.