suria

Chong Wei Puas Hati Bukti Proses Pendengaran Siap

Lee Chong Wei.
KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata penyediaan bahan bukti bagi proses pendengaran kes doping terhadapnya telah siap dan beliau berpuas hati dengan perkembangan itu.

Beliau juga berharap hasil kerja keras semua pihak yang berusaha menyediakan maklumat terbaik itu akan menjurus kepada keputusan yang memihak kepadanya.

"Saya belum tahu tarikh bagi proses pendengaran itu...saya masih lagi berlatih seperti biasa terutama untuk mengekalkan kecergasan.

"Pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah bekerja keras terutama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang selalu saya hubungi melalui telefon dan Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) berkaitan perjalanan kes ini," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Norza berkata BAM sedang berbincang dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk menetapkan tarikh proses pendengaran itu.

Menurut Norza, semua pihak termasuk Institut Sukan Negara (ISN) dan peguam telah membuat persediaan terbaik bagi proses pendengaran itu.

"Saya jangka panel pendengaran akan diadakan Mac ini. Keputusan adalah kuasa panel pendengaran. Kami hanya berusaha membuat persediaan terbaik untuk Chong Wei," katanya.

Chong Wei kini digantung sementara oleh BWF selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos tahun lepas.
Lee Chong Wei, doping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain