suria

Hukuman Mati Tiga Lelaki Bunuh Pensyarah Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga lelaki termasuk seorang bekas pelajar Institut Bina Negara (IKN) bagi kesalahan membunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, 13 tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop  sebulat suara menolak rayuan akhir bekas eksekutif jualan Sulkarnain Alias,  bekas pemandu forklift Noorman Ab. Wahab dan Azizul Azual Jailani.

Dalam keputusannya, Hakim Ahmad berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul apabila mendapati ketiga-tiga mereka bersalah atas tuduhan membunuh pensyarah sains sukan itu.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan telahpun mempertimbangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu dan bersetuju dengan keputusan yang dicapai oleh Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, beliau berkata hujah-hujah yang dibangkitkan oleh para peguam yang mewakili ketiga-tiga perayu di Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai merit.

Sulkarnain, 37, Noorman, 36, dan Azizul, 31, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada 2009 atas tuduhan membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pukul 9.30 malam pada 12 Februari 2002.

Azizul berusia 18 tahun ketika insiden itu.

Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya.

Bukti yang diperoleh menunjukkan bahawa Bakarudin ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam itu.

Pada mulanya, empat orang menghadapi pertuduhan membunuh tetapi Mahkamah Tinggi pada 2007, membebaskan tertuduh keempat, juga bekas pelajar IKN Muhamad Zakwan Ahmad Zaki, 29, tanpa memanggilnya membela diri.

Pihak Pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya  tetapi tidak dapat menyerahkan notis kepadanya.

Bekas teman wanita Sulkarnain dan bekas pelajar UiTM Siti Rahmah Azman Subramaniam, 35, juga menghadapi pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan tanpa dilepaskan daripada tuduhan itu pada 2003 selepas pihak pendakwa menawarkannya menjadi saksi.

Insiden itu berlaku selepas Sulkarnain mendapat tahu bahawa Bakarudin telah menghubungi teman wanitanya ketika itu yang disingkir dari UiTM, meminta wanita itu bermalam dengannya sebagai ganjaran membantunya dalam rayuan untuk diterima kembali ke kolej.

Sulkarnain diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, Noorman oleh peguam K. Viknesvaran dan Azizul oleh peguam Haniff Khatri Abdulla manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Bakarudin Busu, bunuh, UiTM

Artikel Lain