suria

Pengurus Sumber Manusia Dibenar Wakili Syarikat Perbaharui PLKS

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen pada Isnin memutuskan untuk membenarkan pengarah atau pengurus sumber manusia mewakili sesuatu syarikat bagi memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing di kaunter imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai pihak selain majikan atau pemilik syarikat.

"Justeru itu, pihak syarikat disarankan untuk mengemaskini senarai nama pengarah atau pengurus sumber manusia mereka yang akan berurusan dengan Jabatan Imigresen.

"Ini kerana data biometrik mereka akan disimpan dalam sistem Jabatan Imigresen," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Akhbar The Star pada Sabtu lalu melaporkan mengenai rungutan wakil majikan yang tidak dibenarkan memperbaharui PKLS bagi syarikat mereka apabila hanya ahli lembaga pengarah yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Turut dilaporkan, Pengarah Bahagian Pekerja Asing Imigresen, Farah Adura Hamidi berkata, hanya syarikat persendirian atau syarikat kecil sahaja dibenarkan diwakili oleh pengurus syarikat atau pengurus sumber manusia.

Dalam pada itu Mustafa berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk membanteras penglibatan orang tengah dan ejen yang tidak sah daripada menjalankan urusan bagi pihak syarikat.

"Dalam hal ini bagi memudahkan pihak majikan atau pemilik syarikat yang tidak dapat hadir ke kaunter, proses pembaharuan PLKS secara dalam talian akan ditambah baik dan diteruskan sebagai saluran alternatif," katanya.

Pelaksanaan memperbaharui PLKS menerusi sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) mula dikuatkuasakan sejak 5 Januari lalu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain