suria

Nik Nazmi Dakwa Penahanan Dirinya Bermotifkan Politik

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pada Isnin mempertikaikan tindakan polis menahannya atas kesalahan menyertai Himpunan #KitaLawan Sabtu lalu.

Beliau juga mendakwa tindakan pada malam Ahad ketika anak kecilnya sedang tidur itu bermotifkan politik.

"Pihak polis mempunyai ruang secukupnya untuk menahan saya pada 21 Februari, mengapa polis harus menunggu hingga 22 Februari untuk merakamkan kenyataan saya.

"Mengapakah mereka perlu datang ke rumah saya pada lewat malam ketika anak kecil saya sedang tidur? Saya bukannya seorang penjenayah ganas. Tuduhan ke atas saya bermotifkan politik," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan Nik  Nazmi yang juga Exco Kerajaan  Negeri Selangor itu berkata siri jelajah Himpunan #KitaLawan akan tetap diteruskan pada Sabtu ini dan kemuncaknya pada 7 Mac di lokasi yang sama iaitu dihadapan pusat beli belah Sogo.

"Saya menyeru agar semua dapat hadir pada Himpunan #KitaLawan pasa 28 Februari dan kemuncaknya  7 Mac, kita berhimpun secara aman menuntut hak kebebasan, keadilan dan hak asasi kita.

"Kerajaan ini akan takut kepada rakyatnya, kita akan terus menerus membuktikan kita tidak takut. Sebagaimana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kita tidak akan menyerah sama sekali," katanya yang dibebaskan pada pagi Isnin selepas empat jam ditahan polis kerana didakwa terlibat dengan perhimpunan haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia itu ditahan pada pukul 9.45 malam Ahad di rumahnya di Denai Alam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Nik Nazmi dan aktivis pelajar Adam Adli antara peserta yang berkumpul di hadapan kompleks membeli-belah Sogo pada hari Sabtu bagi perhimpunan terhadap sabitan liwat pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan tersebut bermula pukul 4 petang luar Sogo dengan persembahan tarian singa dan seterusnya ucapan daripada Adam, Nik Nazmi dan anak perempuan Anwar, Nurul Nuha Anwar.

PKR, Anwar Ibrahim

Artikel Lain