suria

KPDNKK Bertemu BritishIndia & Pengurusan Suria KLCC Hari Ini

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak pengurusan Suria KLCC dijadual berlangsung hari ini berhubung arahan pemindahan lokasi premis fesyen tempatan, BritishIndia. 

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata pertemuan yang akan diadakan di pejabat beliau di Putrajaya itu juga akan dihadiri wakil daripada BritishIndia.

Katanya, pertemuan tiga penjuru itu merupakan usaha mencari jalan penyelesaian berhubung arahan pemindahan oleh pengurusan Suria KLCC kepada butik fesyen tempatan itu.

"Marilah kita bersama-sama bincangkan (perkara ini). Cuma saya minta ada persefahaman antara mereka. Lebih baik kita menggunakan prinsip menang-menang," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan tajaan bas oleh Bank Rakyat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, Isnin.

Baru-baru ini, pengurusan Suria KLCC dilapor mengarahkan BritishIndia berpindah ke lokasi lain di pusat beli-belah terkenal itu dan syarikat itu percaya ruang niaga yang didudukinya kini akan disewakan kepada jenama fesyen luar negara.

"Perkara ini juga ada kaitan dengan undang-undang dan perjanjian penyewaan. Ini yang kita akan lihat bersama esok (Selasa)," kata Hasan.

BritishIndia, Suria KLCC, KPDNKK

Artikel Lain