PETALING JAYA: Mentaliti segelintir masyarakat tempatan yang enggan dan malu untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan menjual tisu memaksa golongan istimewa itu mendapatkan ‘khidmat’ pengiring di kalangan warga asing. Persatuan Kebajikan OKU Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB) mengakui itulah realiti kehidupan sebenar golongan kurang bernasib baik ini ketika mencari rezeki bagi menyara kehidupan mereka Pengerusi PKB, Raja Zainuddin Raja Ghazali menjelaskan, warga asing ini bukan didalangi sindiket yang mahu mengambil kesempatan ke atas golongan OKU. Bagaimanapun, menurutnya, pengiring warga asing sebenarnya adalah ‘rakan’ yang dikenali OKU dan mereka berkhidmat atas dasar kenalan yang sudi membantu. “Orang buta terpaksa keluar berjalan mencari rezeki dan memerlukan pengiring bagi membantu memudahkan pergerakan mereka. “Realitinya, orang tempatan tak mahu bawa orang buta sebab mereka malu untuk melakukan kerja itu, selain bimbang akan bertemu orang yang dikenali. “Nak tak nak, apa yang ada itu sahajalah yang mereka harus terima. Yang tak malu dan sanggup bawa mereka adalah warga asing di mana kebanyakan mereka merupakan rakyat Indonesia,” katanya dalam satu temuramah mStar Online. Portal mStar Online sebelum ini melaporkan warga asing dengan status meragukan dipercayai ‘berselindung’ di sebalik aktiviti minta sedekah dengan menjadi pengiring OKU penglihatan yang menjual tisu. Pada masa ini, terdapat kira-kira 200 ahli PKB yang berdaftar di mana sebahagian besarnya melakukan aktiviti menjual tisu dengan bantuan pengiring warga Indonesia. Raja Zainuddin berkata, penglibatan warga Indonesia sebagai pengiring itu disebabkan faktor bahasa yang memudahkan kedua-duanya berkomunikasi ketika bekerja. Beliau turut mendedahkan, sebenarnya terdapat warga tempatan yang ‘sukarela’ tampil mahu menjadi pengiring OKU tetapi mereka di kalangan penagih dadah. Menurutnya, golongan itu tidak sesuai dijadikan pengiring kerana ia akan mengancam keselamatan OKU, selain terdedah kepada penipuan. “Pengiring sebenarnya berperanan untuk membantu pergerakan dan menjaga keselamatan OKU tetapi penagih dadah ini hanya mengancam keselamatan mereka,” katanya sambil tidak menolak penagih dadah mungkin mahu mengambil kesempatan dengan mencuri wang milik OKU hasil jualan tisu, antara lain untuk membeli dadah. Raja Zainuddin berkata, PKB berperanan dalam memantau pergerakan mereka bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terutama melibatkan soal keselamatan. Ditanya mengenai bantuan ahli keluarga, beliau menjelaskan hubungan segelintir mereka tidak begitu baik berikutan persepsi terhadap OKU sebagai beban. Dalam pada itu, katanya, warga asing tidak berselindung di sebalik aktiviti ini, sebaliknya mereka hanya menjadi pengiring kepada OKU sebagai ‘kerja sampingan’. Beliau menambah, kebanyakan OKU yang membantu menjadi pengiring mempunyai pekerjaan tetap atau separuh masa seperti bekerja di restoran dan tukang cuci. “Warga asing ini menjadi pengiring sebelum atau selepas waktu kerja. Khidmat mereka ini sudah pastinya mendapat imbuhan (upah). “Ia bergantung kepada persetujuan bersama antara OKU dan warga asing dari segi bayaran. Kebiasaannya pengiring mendapat antara 20 hingga ke 40 peratus daripada hasil jualan tisu,” katanya. Bagi memastikan aktiviti OKU menjual tisu berjalan lancar dan tidak dimanipulasi pihak tertentu, Raja Zainuddin menyeru kepada semua pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan ibu-ibu tunggal supaya tampil membantu menjadi pengiring. “Kita melihat ibu tunggal merupakan golongan celik yang sesuai untuk menjadi pengiring. Kita berharap ada persatuan ibu tunggal sudi bekerjasama," katanya.