suria

Agong Gesa Rakyat Tolak Fahaman Ekstrem

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru rakyat supaya menolak fahaman ekstrem seperti kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS).

"Beta menyambut baik usaha berterusan memperkukuhkan kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani ancaman pengganas di Sabah, membendung penularan fahaman ekstrem dalam kalangan rakyat.

"Lanjutan daripada pembentangan Kertas Putih berhubung ancaman militan, kerajaan juga bercadang mewujudkan undang-undang berhubung anti-keganasan," titah Seri Paduka semasa menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga, Parlimen Ke-13, di sini Isnin.

Susulan itu, baginda menyeru rakyat agar berwaspada dengan propaganda kumpulan militan tersebut yang menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama.

"Awasi ahli keluarga masing-masing supaya tidak terpedaya dengan dakyah menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama. Sama-samalah kita menghayati ajaran Islam sebenar," katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) khusus untuk menangani ancaman keganasan seperti kumpulan militan IS akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ahmad Zahid berkata, akta baharu itu nanti merupakan undang-undang pencegahan daripada berlakunya sesuatu keganasan dan anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang datang ke negara ini akan diambil tindakan melalui Pota.

IS, Agong

Artikel Lain