suria

PRK DUN Chempaka: PAS Ditentang Empat Calon Bebas

Lima calon yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka (dari kiri) calon Bebas Aslah Mamat, calon PAS Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, calon Bebas Fadzillah Husin, calon Bebas Izat Bukhari Ismail, calon Bebas Sharif Mahmood, selepas proses penamaan calon di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa di Kota Baharu, Selasa. Foto BERNAMA

KOTA BAHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon bebas.

Calon PAS ialah Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42.

Empat calon bebas ialah bekas calon bebas PRK DUN Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48; bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59; Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Fadzillah Hussin, 55; dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ibrahim Bakri Mat Deris membuat pengumuman itu di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa di sini pada pukul 10.45 pagi.

Ibrahim Bakri berkata, pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon PAS pada pukul 9.05 pagi, manakala daripada Izat Bukhary (9.12 pagi); Fadzillah (9.17 pagi); Sharif (9.18 pagi); dan Aslah (9.20 pagi).

Proses penamaan calon yang berlangsung pada 9 pagi Selasa berjalan lancar dan ditutup pada 10 pagi. 

Terdahulu, Ahmad Fathan yang juga Bendahari PAS Kawasan Pengkalan Chepa dan para penyokongnya berarak dari Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) sejauh 1.6km ke pusat penamaan itu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu antara yang mengiringi calon PAS itu.

Keadaan keselamatan terkawal dan cuaca cerah.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi. Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi manakala Wan Razman mendapat 5,810 undi.

DUN Chempaka mempunyai 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa; 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas.

PAS, Chempaka

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain