PETALING JAYA: Jabatan Imigresen merancang untuk memperbanyakkan urusan berasaskan sesi temujanji sebagai langkah mengurangkan kesesakan di kaunter dan memastikan operasi harian lebih efisien. Pada masa ini, sesi temujanji hanya dilaksanakan bagi urusan-urusan tertentu sahaja seperti permohonan Permit Masuk yang juga dokumen wajib untuk warga asing menetap di negara ini. Permit tersebut biasanya digunakan untuk warga asing memohon status Permaustautin Tetap (PR) daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan), Datuk Sakib Kusmi berkata, di bawah pelaksanaan perkhidmatan dalam talian (online), sesi temujanji akan diperluaskan kepada pelbagai urusan berkaitan dengan permit-permit pekerja asing pada masa akan datang. Adalah difahamkan, ia akan dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini. Menurutnya, sesi tersebut akan ditetapkan secara sistematik mengikut kapasiti jabatan, kepentingan pengesahan sesuatu permohonan, kes tertentu dan keperluan untuk pemohon hadir. "Kaedah berasaskan temujanji memang ada keperluan. Contohnya, sesuatu permohonan itu boleh dikemukakan secara dalam talian tetapi temuduga masih perlu untuk pengesahan secara fizikal sebelum ia diluluskan. "Langkah ini dapat mengurangkan kesesakan, malah meminimumkan penggunaan di kaunter kerana ketika ini, pihak yang tidak perlu berurusan di kaunter pun datang ke pejabat imigresen," katanya menerusi temuramah bersama mStar Online. Sakib Kusmi. Menurut Sakib, pemberitahuan mengenai sesi temujanji ini akan dihebahkan secara dalam talian dan tempoh menunggu mengikut Petunjuk Pretasi Utama (KPI). "Pemohon akan dimaklumkan tarikh dan waktu mereka perlu hadir pada sesi pertemuan itu," katanya sambil menambah bahawa imigresen di New Zealand, Australia dan Switzerland merupakan antara contoh negara yang melaksanakan khidmat berasaskan temujanji ini. Malahan kata Sakib, pendekatan sesi temujanji itu dapat dipertingkatkan menjelang 2020 iaitu tempoh sasaran untuk pelaksanaan perkhidmatan dalam talian bagi semua urusan imigresen. “Jika ia dapat dilaksanakan menjelang 2020, mungkin misi Jabatan Imigresen menjadi pejabat senyap dapat direalisasikan selepas beberapa tahun," kata Sakib. Beliau berkata, pelaksanaannya juga dapat mengatasi masalah permohonan tidak lengkap ketika berurusan secara fizikal, selain mewujudkan integrasi yang lebih rapat dengan agensi lain terutama untuk pengesahan data atau dokumen. "Malah sampai ke satu tahap, pemohon tidak perlu membawa dokumen ke sesi temujanji jika semua data dimasukkan dan disahkan secara dalam talian, sekali gus menjadikan setiap proses dilakukan secara telus dan cekap," katanya. Mengenai sasaran pada 2020 itu, Sakib menjelaskan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekiranya sistem teknologi maklumat (IT) bagi perkhidmatan dalam talian betul-betul mantap dan diintegrasikan dengan baik. "Peringkat pembuktian konsep (POC) merupakan satu permulaan yang baik dalam melaksanakan perkhidmatan dalam talian. "Ketika ini, pemahaman orang ramai berhubung perkara ini perlu supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan setiap pelaksanaan baharu sistem dalam talian," katanya. Dalam pada itu, Sakib berkata, pelaksanaan sistem dalam talian secara menyeluruh bakal menyaksikan peralihan tenaga kerja jabatan itu yang memberi lebih tumpuan kepada aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan. Tambahnya, peralihan secara berperingkat bagi dua aktiviti itu dijangka meningkat dari hanya 25 peratus ketika ini kepada sekurang-kurangnya 60 peratus pada masa akan datang. "Tumpuan utama kepada aspek pemantauan dan penguatkuasaan ini adalah tanggungjawab imigresen dalam memastikan kawalan dan keselamatan negara diperkukuhkan," katanya sambil menambah Jabatan Imigresen mempunyai kira-kira 12,000 kakitangan di seluruh negara.