Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia susulan tangkapan beberapa pengawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas, baru-baru ini.
"Jabatan Audit perlu melakukan pengauditan terhadap tatacara dan prosedur perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatannya bagi memastikan imej pihak berkuasa keselamatan ini sentiasa dihormati rakyat.
"Penahanan beberapa pegawai dan anggota TLDM oleh SPRM yang didakwa berlaku rasuah membabitkan perolehan pasukan keselamatan berkenaan adalah sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia dilaporkan sudah berlaku sejak beberapa tahun lamanya," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Nur Jazlan berkata beberapa tahun lalu PAC pernah memanggil Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung pembelian helikopter Eurocopter tetapi banyak perkara tidak dapat didedahkan atas alasan ia membabitkan perkara sensitif dan rahsia kerana menyentuh soal keselamatan negara.
"ATM perlu lebih telus dalam soal perolehan aset dan kelengkapan perkhidmatannya kerana ia menggunakan wang rakyat dan tidak elok memberikan alasan tidak boleh mendedahkan tatacara perolehan atas sebab rahsia dan sensitif kerana dikhuatiri mengancam keselamatan negara sedangkan berlaku unsur penyelewengan dan rasuah di kalangan anggota dan pegawainya," katanya.
Nur Jazlan berkata beliau akan menulis surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tidak lama lagi supaya jabatan berkenaan dapat melaksanakan audit segera secara menyeluruh terhadap tatacara perolehan ATM dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan.