suria

Stesen Radio BFM Buat Laporan Polis Berhubung Ancaman Ke Atas Kakitangannya

Ezra Zaid

PETALING JAYA: BFM Media Sdn Bhd, pemilik stesen radio kontroversi, BFM, akan membuat laporan polis ke atas pihak-pihak yang mengancam kakitangan mereka berhubung penyiaran isu video hudud.

Jurucakapnya, Ezra Zaid berkata, ancaman yang mereka terima sejak isu itu menjadi kontroversi adalah satu perbuatan jenayah yang tidak wajar dilakukan dan tidak sepatutnya mendapat tempat dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan toleransi dan keamanan.

"Sejak penyiaran video tersebut, pekerja kami telah menerima pelbagai ugutan yang mengancam keselamatan peribadi mereka. Walaupun kami terbuka dalam menerima sebarang kritikan dan juga siasatan daripada pihak berkuasa yang berkenaan, ancaman-ancaman seperti ini tiada tempat di dalam masyarakat yang mengamalkan toleransi dan keamanan. Ancaman-ancaman ini adalah perbuatan jenayah.

"Pihak pengurusan BFM Media Sdn Bhd akan membuat laporan polis keatas mereka yang telah mengancam keselamatan stesen dan pekerja-pekerja kami," ujarnya dalam satu kenyataan petang Isnin.

Menurut Ezra lagi, pada pukul 10 pagi ini, pihak polis telah mengambil keterangan daripada tiga pekerja BFM yang terlibat dalam produksi video tersebut.

Mereka katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 298, Kanun Keseksaan.

Mereka juga kata Ezra kemudiannya disiasat oleh pegawai-pegawai daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

"BFM Media Sdn Bhd sentiasa memberi dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam hal ini. Pihak pengurusan BFM Media Sdn Bhd sentiasa yakin dengan kebolehan pekerja-pekerja kami untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab. Kami akan berada di sisi mereka dan memberikan bantuan penuh dalam apa jua bentuk yang mereka perlukan dalam waktu yang tertekan ini.

"Kami juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada rakan rakan, peminat dan juga pihak media yang telah memberi sokongan moral kepada Aisyah Tajuddin dan BFM Media pada masa yang amat mencabar ini. Kami berharap agar sokongan yang diterima berterusan," ujarnya lagi.

Dalam klip video dua minit itu yang berjudul 'Hudud Isi Periuk Nasi' yang disiarkan pada Khamis lalu, hos rancangan itu, Aisyah kelihatan mempersenda dan mengkritik Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana meluluskan pindaan kepada Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993.

Bagaimanapun perbuatan BFM itu telah dilihat sebagai mempersendakan agama Islam.

Tambah Aisyah, sejak video ini di muat naik, banyak ugutan bunuh dan rogol telah diterima ahli keluarganya, teman rapat dan rakan-rakan sekerja.

Aisyah telah pun memohon maaf di atas penyiaran video berkenaan.

BFM Media, Ezra Zaid, Aisyah Tajuddin

Artikel Sebelum

Malindo Air Kena Amaran

Artikel Lain