KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan Malindo Air diberi tempoh tiga bulan untuk melakukan penambahbaikan dalam pengendalian operasi penerbangannya, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sudah mengeluarkan amaran supaya syarikat penerbangan tambang murah itu mengemaskini beberapa keperluan berkaitan peraturan yang ditetapkan agensi pengawal selia industri penerbangan berkenaan. “Saya difahamkan DCA telah mengeluarkan arahan dan Malindo perlu mengemaskini semua keputusan yang telah ditetapkan serta mematuhi semua peraturan. “Dalam masa tiga bulan (Malindo) kena buat semua pembaikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai mesej yang tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa DCA tidak akan menyambung AOC Malindo Air kerana menemui lebih 90 kesalahan dalam pengendalian operasi penerbangan, penyelenggaraan pesawat, kejuruteraan, lesen juruterbang dan keselamatan. Mesej itu turut menyatakan kesemua penumpang yang akan menaiki penerbangan selepas 31 Ogos ini harus diberitahu akan kemungkinan pembatalan penerbangan dan wang harus dikembalikan kepada para penumpang. Mengulas lanjut, Tiong Lai menjelaskan bahawa proses audit yang dilakukan DCA terhadap Malindo merupakan prosedur biasa terhadap mana-mana syarikat penerbangan. “Kita melaksanakan audit dari masa ke masa sekiranya ada masalah keselamatan atau tidak ikut SOP (prosedur operasi standard) dan peraturan DCA. Maka DCA mengeluarkan amaran dan memastikan mereka mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. “Saya yakin Malindo akan menepati keperluan DCA dalam masa terdekat. Ini adalah prosedur normal iaitu audit yang dilakukan DCA kepada setiap syarikat penerbangan. Sebagai jabatan yang memantau keselamatan dan juga perjalanan syarikat penerbangan, DCA perlu ketat dari segi keperluan SOP,” katanya.