PETALING JAYA: Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman berjaya menangkap dua orang warga tempatan yang disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Syria pada 7 dan 19 Mac lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataan pada Isnin berkata, operasi yang dilakukan di sekitar Selangor itu membawa kepada penangkapan seorang lelaki dan wanita. "Suspek wanita adalah seorang suri rumah berusia 28 tahun berasal dari Kedah dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Mac. "Ketika itu suspek cuba berlepas ke sebuah negara jiran bagi tujuan ke masuk ke Syria," jelasnya dalam kenyataan tersebut. Manakala seorang lagi suspek lelaki adalah seorang kakitangan di sebuah jabatan kerajaan berusia 29 tahun berasal dari Sabah dan merancang berlepas ke Syria bagi menyertai kumpulan IS. "Suspek yang meninggalkan tugas sejak Disember 2012 telah menyusup ke negara jiran pada awal Februari 2015 sebelum berlepas ke Syria. "Dia ditahan ketika cuba kembali ke Malaysia menggunakan pasport tulen sebuah negara jiran yang diperolehi secara tidak sah pada 19 Mac lalu. "Tujuan suspek kembali ke negara adalah untuk merekrut beberapa individu tempatan untuk menyertai kumpulan IS. "Dia juga dikesan mempunyai hubungan dengan seorang rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan tersebut di Syria," tambah beliau. Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah kesalahan berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta (747).