suria

Kerajaan Tidak Akan Sekat Media Sosial - Ahmad Shabery

Ahmad Shabery Cheek.
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengambil langkah menyekat laman media sosial seperti Facebook dan Google walaupun berdepan cabaran ledakan kandungan negatif di internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata sebaliknya, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap penyebaran kandungan yang negatif.

Katanya, kerajaan juga bersedia melihat keperluan bagi meminda atau menambah baik undang-undang sedia ada dalam berdepan cabaran baharu ledakan kandungan. 

"Kami tidak akan sampai ke situ (sekat) kerana kami percaya bahawa banyak kebaikan dan perkara-perkara positif yang boleh kita ambil daripada perkembangan ledakan (maklumat) dunia yang dipanggil 'hyperconnectivity' pada hari ini," katanya merujuk kepada langkah yang diambil kerajaan China untuk terus menyekat penggunaan Facebook dan Google di negara itu.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian tersebut, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Katanya, kementerian turut sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani jenayah siber.

Beliau berkata hakikat Malaysia menduduki tempat ketiga bersama-sama dengan Australia dan Oman, selepas Amerika Syarikat dan Kanada dalam Indeks Keselamatan Siber 2014 oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) juga membuktikan Malaysia berada pada landasan yang betul.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata kerajaan juga akan mewujudkan satu saluran khas untuk siaran persidangan Dewan Rakyat apabila RTM memasuki sistem penyiaran digital.

Katanya, siaran sedia ada iaitu selama 90 minit setiap hari pada setiap hari persidangan Dewan Rakyat di RTM1 adalah persiapan ke arah itu.

"Saluran RTM Parlimen ini akan membolehkan kita melihat dan menilai apa yang diucap dan dibincangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Artikel Lain