KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melengkapkan kertas siasatan kes melibatkan pembekalan barangan dan peralatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini, dalam tempoh dua minggu sebelum sebarang keputusan dilakukan. Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata beliau akan berbincang bersama Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk menentukan kes 16 individu termasuk enam anggota TLDM yang ditahan dalam siasatan kes itu. "SPRM mendapati memang terdapat penyelewengan dari segi perolehan kontrak melibatkan orang tengah yang bertindak bagi pihak pegawai TLDM. "Perolehan kontrak itu adalah bagi tempoh tiga tahun bermula tahun 2012 hingga 2014," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini Khamis. Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme SPRM) Datuk Zakaria Jaffar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan SPRM) Datuk Mustafar Ali. Menurut Jamidan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain yang turut terlibat dan buat masa ini, segala keterangan sedang dikumpul untuk memperlengkapkan kertas siasatan. "SPRM perlu melihat secara menyeluruh. Keterangan yang didapati dari enam individu terbabit (anggota TLDM) akan disiasat. Kemungkinan besar ada individu lain terlibat," katanya. Dalam kenyataannya pada Rabu, beliau mengesahkan sebanyak 16 orang termasuk enam anggota TLDM berpangkat Pegawai Pemerintah, Leftenan Komander, Leftenan dan Laskar Kanan telah ditahan pada 9 dan 11 Mac lepas bagi membantu siasatan. Menurutnya, kesemua 16 individu telah dibebaskan selepas ditahan reman antara tujuh hingga 10 hari, namun siasatan kes masih dijalankan. Dalam majlis itu, seramai 41 Kadet Penolong Penguasa (Gred P29) menerima sijil tamat latihan kursus asas Pegawai SPRM setelah menamatkan latihan komprehensif selama setahun pada tahun lalu.