PETALING JAYA: Status pelaksanaan kenaikan tambang baharu untuk bas ekspress masih samar-samar walaupun pengusaha bas mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Seorang pengusaha bas yang enggan dikenali melahirkan rasa kecewanya sambil berkata, SPAD tidak mempunyai penyelesaian buat 25 wakil Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia yang hadir pada mesyuarat itu, Selasa lalu. "Mereka mengatakan kami perlu menunggu, memberi ruang kepada pihak yang lain dahulu," katanya. Tambahnya, SPAD mendengar rungutan mereka sebelum mengatakan bahawa "mereka tidak dapat berbuat apa-apa". "Mereka mengatakan mereka perlu mengikut keputusan kabinet," katanya. Terdahulu, SPAD mengumumkan mengenai kenaikan tambang untuk teksi, kereta sewa, bas ekspres dan kereta api pada Khamis minggu lalu. Bagaimanapun, Kabinet hanya membenarkan teksi untuk melaksanakan kenaikan tambang terlebih dahulu. Pelarasan semula tambang bas ekspres dibuat kali terakhir pada 2009. Pengusaha bas ekspres ketika ini mengenakan caj lebih 2.1 sen (atau 22.5 peratus) bagi setiap kilometer (km), dan tambang baru adalah 11.4 sen per km. SPAD menasihatkan pengusaha bas ekspres tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media. "Mereka tidak mahu kami mendedahkan perkara ini," kata seorang pengusaha. Dia juga berkata, pengusaha bas amat memerlukan semakan tambang kerana mereka memerlukan menangguh kos operasi lebih tinggi. Jelasnya, subsidi minyak diesel kini sudah dimansuhkan, sekali gus kos operasi semakin bertambah terutama selepas kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai minggu depan.