JELEBU: Pemimpin-pemimpin Umno khususnya di peringkat cawangan diseru agar menjadi benteng kepada segala fitnah yang dilemparkan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak. Menyeru demikian anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara fitnah itu adalah yang berkaitan 1MDB, pembelian jet oleh kerajaan Malaysia dan mas kahwin anak perempuan Najib. "Fitnah terhadap pemimpin Umno semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan inilah yang 'mereka' mahu supaya kita di peringkat cawangan 'goyang'. "Apabila anggota di peringkat cawangan sudah 'goyang' atau sudah tidak yakin kepada kepimpinan maka runtuhlah parti kita. "Jika Umno runtuh bermakna orang Melayu akan menjadi mangsa," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam ucapan merasmikan persidangankelompok Umno Cawangan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Jelebu 2015 di sini, Jumaat. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias. Ismail Sabri berkata fitnah ini turut 'turun' ke cawangan-cawangan Umno, malah sekarang ini beliau mendapat tahu ada surat-surat layang diedarkan di cawangan-cawangan bagi memfitnah (Perdana Menteri) Najib. Beliau berharap anggota parti tidak terpengaruh dengan kempen fitnah itu. Menurutnya Umno sepatutnya menjadi lebih kuat pada hari ini kerana pembangkang sudah semakin berpecah-belah. "Inilah waktu terbaik bagi kita (Umno) memperkuatkan kedudukan kita kerana diwaktu orang lemah, kita mesti kuat. "Tetapi kalau waktu orang lemah dan kita juga lemah maka tidak ada makna," katanya.