suria

Wanita Maut, Suami Parah Dirempuh Kereta

GEORGE TOWN: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dari belakang di KM8.5 Jambatan Pulau Pinang, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian pada 3 pagi itu, Asnor Fazeela Osman, 25, dari Tanjung Tokong mati di tempat kejadian manakala suaminya, Amir Azrin Ahmad Noh, 24, cedera parah setelah kedua-duanya terpelanting beberapa meter.

Ketika kejadian itu, motosikal yang ditunggang suami mangsa berada di lorong motosikal sebelum dirempuh sebuah kereta, katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata Amir Azrin dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya dilapor masih kritikal.

Pemandu kereta berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak cedera dan kini ditahan untuk siasatan lanjut, katanya.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan seorang penunggang motosikal, Ng Wai Chong, 39, mati di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan di KM4 Jambatan Pulau Pinang pada 10.30 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata Ng, yang dalam perjalanan dari Seberang Perai ke pulau gagal mengelak sebuah kereta berkenaan yang berhenti kerana kehabisan minyak.

maut, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain