ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 32 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Myanmar dan Pakistan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Alor Setar, awal pagi Jumaat. Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata dalam operasi bermula 1.30 pagi itu sebanyak 20 lelaki dan tiga wanita Myanmar serta sembilan lelaki Pakistan berumur antara 13 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan. Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua Pati warganegara Myanmar itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk tinggal di negara ini. "Sementara sembilan warganegara Pakistan ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana memiliki pas Imigresen palsu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Warga Pakistan itu telah menjadikan sebuah rumah 'homestay' di Taman Seri Kota di sini sebagai rumah mereka dengan bayaran RM800 sebulan dan telah menetap di situ dalam tempoh seminggu hingga tiga bulan, kata Mohamad Yusri. Katanya, semua warganegara Pakistan itu terlibat dengan aktiviti menjual tulisan khat serta ayat al-Quran di sekitar Alor Setar. Mohamad Yusri berkata ketika pemeriksaan dilakukan, semua penghuni rumah sedang nyenyak tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa. Beliau berkata kesemua Pati yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik.