suria

Azmin Tuduh Dua Adun BN Lakukan 'Plagiat'

Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menuduh dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melakukan plagiat kerana didakwa mengemukakan soalan sama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Di awal ucapan penggulungan bagi usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Selangor, Azmin berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sg Burong dan Kuang didapati 'menjiplak' soalan antara satu sama lain.

"Saya boleh faham sekiranya mereka menimbulkan soalan yang sama, tetapi  soalan yang mereka tanya dari skrip yang sama, kandungan yang sama dan gaya penulisan yang sama," katanya.

Azmin berkata soalan tersebut dibangkitkan untuk mendapatkan jawapan daripada DUN Selangor mengenai struktur pejabat Menteri Besar, fungsi dan struktur operasi standard (SOP) berserta jumlah gaji dan elaun setiap kakitangan.

Kenyataan tersebut sekali gus membangkitkan rasa tidak puas hati Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) yang menafikan bahawa soalan itu berbentuk plagarisme kerana ia hanya ditulis secara spontan.

"Menteri Besar tidak sepatutnya memperbesarkan perkara ini. Sebagai seorang MB, beliau boleh memilih untuk menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan Adun yang beliau mahu," katanya.

Atas alasan itu, Azmin berkata beliau tidak masalah untuk menjawab soalan tersebut tetapi menegaskan tidak tahu soalan yang mana satu untuk dijawab sekali gus menyebabkan jawapan tersebut ditangguhkan.

"Saya tidak tahu sekiranya Umno menggunakan syarikat penyumberan luar untuk mengemukakan soalan tersebut bagi pihak mereka. Tetapi sekiranya mereka lakukan perkara itu, sekurang-kurangnya pastikan ia soalan yang berbeza.

"Malah di universiti, pelajar yang didapati melakukan plagiat juga akan diambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sg Burong) kemudiannya tampil mempertahankan diri dengan berkata perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu.

"Apa salahnya memberikan francais kepada orang lain untuk mendapatkan pandangan mereka? Tugas anda adalah untuk menjawab soalan yang dikemukakan," katanya.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh kemudiannya memerintahkan salinan jawapan diberikan kepada dua Adun itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tauke 'Jus' Ketum Ditahan

Artikel Lain