JITRA: Pengguna domestik yang menggunakan elektrik kurang dari 300kw/h (kilowatt per jam) sebulan tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid. Beliau berkata CBP sebanyak enam peratus, hanya dikenakan terhadap pengguna yang menggunakan elektrik lebih dari 300kw/h sebulan. Mahdzir berkata beliau perlu memberi penjelasan tersebut berikutan terdapat kekeliruan ditimbulkan sesetengah pihak bahawa CBP dikenakan terhadap semua pengguna domestik yang menggunakan bekalan elektrik. "Kita sudah membuat kajian sebelum ini dan mereka yang menggunakan kipas angin, peti ais, televisyen dan mesin basuh, penggunaan elektrik mereka tidak lebih dari 300kw/h sebulan. "Pengguna perlu ada kebijaksanaan dalam menggunakan elektrik. Guna secara berhemah dan tidak membazirkan elektrik," katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Golf Amal anjuran Yayasan Kemiskinan Darul Aman, di Darul Aman Golf and Country Resort di sini Sabtu. Sementara itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Yayasan Kemiskinan Darul Aman berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah pusat hemodialisis pertama di daerah Padang Terap tidak lama lagi. Katanya pusat tersebut yang dijangka beroperasi penghujung tahun ini, akan dilengkapi lima mesin hemodialisis bagi memberi rawatan kepada pesakit buah pinggang di daerah berkenaan yang kini mendapatkan rawatan di Alor Setar. "Hari ini kita anjur kejohanan golf amal, kita dapat kumpul sebanyak RM480,000 dan hasil kutipan dan sumbangan itu akan digunakan untuk membeli mesin hemodialisis," katanya. Beliau berkata pihaknya hanya mengenakan bayaran minimum dan tidak akan membebankan mereka yang mendapatkan khidmat rawatan di pusat hemodialisis tersebut.