suria

Had Umur 55 Tahun Keluar Simpanan KWSP Bersesuaian - Wanita Umno

Rosni Zahari.
KUALA LUMPUR: Had umur 55 tahun untuk pengeluaran wang simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diaplikasikan dalam sistem sedia ada sekarang dilihat masih bersesuaian dan berpatutan.

Ketua Penerangan Pergerakan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari berkata rakyat Malaysia harus diberi pilihan untuk menguruskan hasil titik peluh mereka yang telah dikumpul secara wajib selama berpuluh tahun itu, katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata KWSP sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.

Rosni berkata Wanita Umno memuji langkah agensi kerajaan yang sentiasa berusaha menambah baik polisi sedia demi kepentingan rakyat namun setiap cadangan yang dikemukakan harus diperhalusi dengan mengambil kira semua faktor sebelum ia diumumkan kepada rakyat.

"Walaupun ia masih diperingkat cadangan, kadangkala ia boleh disalahtafsirkan dan menimbulkan kegusaran rakyat," katanya.

Rosni berkata Wanita Umno turut mencadangkan KWSP untuk mewajibkan pencarum menyertai kursus kewangan dan pelaburan sebelum mencapai umur 55 tahun bagi memberi kesedaran dan mempersiapkan diri sebelum mengeluarkan simpanan mereka.

"Agensi kerajaan boleh bertindak sebagai penasihat kewangan kepada rakyat dalam mempertingkatkan lagi mutu kehidupan pencarum KWSP.

"Kami percaya melalui kempen kesedaran yang efektif dan berterusan akan dapat menyedarkan rakyat tentang peri pentingnya mengurus wang simpanan secara bijak dan berhemah," katanya.
Rosni Zahari, KWSP

Artikel Lain