suria

KKM Harap Dapat Kuatkuasa Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari Tahun Ini

Dr S.Subramaniam.
SEREMBAN: Kementerian Kesihatan Malaysia berharap dapat menguatkuasakan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2013 pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata buat masa ini kementerian masih mengadakan perbincangan berterusan dengan pengamal-pengamal perubatan tradisional di negara ini.

"Kementerian masih lagi berbincang dengan pengamal-pengamal perubatan tradisional ini untuk mengambil kira pandangan mereka kerana saya tahu ada yang dah buat kerja ini lebih 20 tahun.

Jadi bila kita membawa akreditasi apakah implikasi kepada mereka dan kita pun tak mahu menyusahkan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tuanku Jaafar di sini Isnin.

Subramaniam berkata apabila akta ini dikuatkuasakan kelak, semua pengamal perubatan tradisional diwajibkan berdaftar dengan badan-badan yang diiktiraf oleh kementerian.

Ditanya berkenaan penganugerahan sijil amalan perubatan tradisional oleh sesetengah pihak, Subramaniam berkata buat masa ini pihak kementerian tidak boleh mengambil apa-apa tindakan.

"Apabila akta ini sudah dikuatkuasakan, maka tidak ada individu yang boleh memberikan sijil kecuali mereka yang telah diiktiraf oleh pihak kementerian kerana setiap bidang perubatan tradisional mempunyai jawatankuasanya sendiri.

Kami tidak boleh mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukannya, tetapi setelah (akta itu) dikuatkuasakan, kami akan mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata pada tahun lepas sebanyak 21,000 prosedur Rawatan Kepakaran Pesakit Luar telah dijalankan di hopsital di negara ini.

"Melalui kaedah ini, kita boleh mengurangkan jumlah mereka yang diberi rawatan dalam wad dan menambah jumlah mereka yang boleh dirawat tanpa masuk wad kerana ia dapat kurangkan tenaga kerja dan kos," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain